Monday 16 January 2012






Artikel pilihan: 11 Langkah Mencapai Apa Sahaja Matlamat 2012 ANDA!

Oleh: Irfan Khairi






1:  Keinginan


Pertama sekali di dalam formula kejayaan adalah keinginan. Untuk mencapai apa jua 
matlamat yang anda impikan, anda perlu mempunyai keinginan untuk mencapai 
matlamat tersebut. Lagi mendalam keinginan anda, lagi mudah untuk anda mencapai 
matlamat tersebut.


Keinginan seumpama api yang membakar. Lagi besar api tersebut, lagi hangat ia akan 
membakar keinginan jiwa anda dalam mencapai apa jua cita-cita yang anda letakkan untuk 
diri anda sendiri.


Punca utama seseorang itu tidak dapat mencapai matlamatnya adalah takut kepada 
kegagalan. Sekiranya anda takut kepada kegagalan, maka, anda tidak akan mengambil
 langkah pertama untuk mencapai apa jua matlamat. Keinginan akan membawa anda 
untuk mengambil langkah pertama tersebut.
Tanpa keinginan, matlamat tidak akan tercapai.


2: Keyakinan


Lagu yang sering bermain di kepala saya sejak dulu sehingga kini "Jika kau fikirkan kau
boleh, kau boleh melakukan. Jika kau fikirkan ragu-ragu, usaha mu tidak menentu"


Lagu yang popular pada 80-an. Ya, bunyi nya amat cliché, tetapi lagu yang simple ini 
mengandungi mesej yang amat besar!


Dalam usaha untuk mencapai apa jua cita-cita anda, anda perlu mempunyai keyakinan 
di dalam hati bahawa cita-cita tersebut akan dicapai! Dengan keyakinan yang tinggi, 
ia akan menjadi penggerak kepada anda untuk tidak menoleh kebelakang lagi.


Keyakinan bukan bermaksud untuk menjadi bongkak dan taksub... 
anda tidak perlu meyakinkan orang ramai. Anda hanya perlu meyakinkan diri anda 
sendiri sahaja. Usah risau dalam meyakinkan orang ramai... anda perlu tunjuk bahawa 
cita-cita anda tercapai- itu sahaja yang akan meyakinkan orang ramai.


Dalam menetapkan matlamat anda, anda perlu realistik. Matlamat yang realistik 
akan membantu dan motivasikan anda untuk memberi keyakinan. Sebagai contoh,
 matlamat untuk mendapat kenaikan gaji 2 kali ganda dalam masa setahun mungkin 
tidak realistik. Tetapi, matlamat untuk menaikkan gaji anda sebanyak 20% dalam masa 
setahun adalah lebih realistik!


Matlamat yang tidak realistik hanya akan melemahkan motivasi diri anda apabila ianya 
tidak tercapai.


3: Tulis matlamat anda


Ini AMAT penting. Sejak saya menulis di ruang motivasi MASKULIN, entah berapa 
kali saya mengulangi petua ini. Di dunia, hanya 2% daripada golongan dewasa yang menulis 
matlamat mereka tersendiri. Baki 98% yang lain mungkin tidak mempunyai matlamat
hidup, ataupun, sekiranya ada, tidak menulisnya.


Menulis matlamat anda adalah seperti anda membuat perjanjian dengan diri anda sendiri. 
Matlamat tersebut akan tersemat di fikiran anda dan sentiasa mengingati anda secara 
sedar, ataupun separa-sedar untuk anda mencapaikannya.


Matlamat yang tidak tertulis adalah seumpama angan-angan sahaja. Apabila anda menulis 
matlamat anda, ia menjadi sesuatu yang nyata- boleh di sentuh. Anda telah membawa 
matlamat di imaginasi kepada bentuk yang anda dapat mengenggamkannya!


4: Senaraikan kebaikan yang anda akan kecapi


Apa yang anda akan dapat sekiranya matlamat anda tercapai? Senaraikan segala-galanya. 
Lagi panjang senarai anda, lagi bagus. Ini adalah kerana anda menyenaraikan 
motivasi-motivasi yang akan mebakar semangat anda untuk terus berusaha dan
 mencapai kebaikan tersebut.


Manusia adalah insan yang beremosi. Dengan memikirkan kebaikan yang anda akan 
kecapi, ia akan memandukan anda ke arah mencapai matlamat tersebut. Berikan 
sebab-sebab mengapa anda mahukan matlamat anda tercapai, apakah pulangan yang 
anda akan terima, serta bagaimanakah tahap kepuasan anda sekiranya matlamat itu
 tercapai- ini akan menyemarakkan lagi semangat anda untuk mencapaikannya...


5: Cermin kan diri sendiri


Di mana anda berada ketika ini? (bukan di bangku atau di sofa!). Pada ketika ini, apakah 
keadaan anda. Anda perlu ketahui di mana anda berada kini untuk mencapai matlamat yang
 anda telah tetapkan.

Pastikan anda ketahui di mana anda berada kini oleh kerana itu adalah titik permulaan 
perjalanan anda. Lebih jelas anda dapat fahami keadaan anda kini, lebih jelas anda dapat 
melihat jalan ke arah pencapaian matlamat.

Sebagai contoh, sekiranya anda inginkan bebas kewangan, duduk dan ambil masa untuk
 melihat keadaan kewangan anda kini secara jujur. Sekiranya matlamat anda adalah untuk 
menurunkan berat badan, anda perlu ketahui berat badan anda kini sebagai titik permulaan.

6: Tetapkan deadline


Matlamat tanpa deadline adalah tidak lengkap. Apa jua matlamat yang ditetapkan, 
tetapkan sama deadline untuk mencapainya. Bila kah deadline yang terbaik? 6 bulan? 
1 tahun? 3 tahun? 5 tahun? Atau 10 tahun?

Kebanyakan orang tidak deadline untuk menetapkan matlamat oleh kerana takut, 
matlamat tersebut tidak dapat tercapai sebelum deadline! Sekiranya tidak tercapai, ia 
akan mengurangkan motivasi sendiri... oleh itu, mereka biarkan tarikh untuk mencapai 
matlamat tersebut terbuka- bila-bila masa sahaja!

Itu adalah pemikiran yang salah. Dengan menetapkan deadline untuk matlamat anda, 
anda memberi satu sasaran yang jitu. Apa akan terjadi sekiranya anda tidak berjaya 
mencapai matlamat sebelum tarikh deadline? Senang sahaja... berikan satu tarikh 
deadline yang baru! Ia hanya akan mengajar anda untuk lebih berusaha dan lebih realistik
 dalam mencapai matlamat.

7: Ketahui rintangan


Dalam mencapai apa jua yang berbaloi, sudah pasti akan terdapat rintangan di hadapan anda.
 Lagi besar matlamat anda, lagi besar rintangan yang anda perlu lalui. Ketahui rintangan-
rintangan tersebut dan pelajari cara untuk menempuhinya terlebih dahulu.

Anggap usaha anda dalam mencapai matlamat adalah satu perjalanan mencari ilmu. 
Setiap rintangan yang anda temui walaupun sekecil manapun akan memperbaiki diri anda
 untuk rintangan-rintangan yang lebih besar di masa hadapan. Ini menjelaskan bahawa, 
mereka yang berjaya didunia adalah tergolong daripada mereka yang berpengalaman 
menghadapi rintangan-rintangan tersebut.

Kejayaan yang cemerlang akan hadir apabila anda berjaya menguasai segala rintangan. 
Oleh itu, lakukan perancangan terlebih dahulu. Senaraikan apakah rintangan-rintangan yang 
akan muncul.

8: Ilmu tambahan


Ketahui Ilmu tambahan yang perlu anda lengkapkan pada diri anda untuk mencapai 
cita-cita tersebut. Manusia diberi anugerah akal fikiran yang merupakan anugerah yang
 paling istemewa sekali.

Bina satu senarai- apakah ilmu tambahan yang anda perlu ketahui untuk mencapai 
matlamat anda? Apakah kebolehan tambahan yang anda perlukan? Apakah pengalaman 
yang anda perlukan? Bolehkah anda mendapat bantuan orang lain sekiranya anda tidak
 mempunyai sesuatu kebolehan itu? Apakah maklumat yang paling penting atau 
kebolehan yang paling penting untuk andapunyai dalam mencapai matlamat anda?

Tanggungjawab anda adalah untuk mempelajari apa jua  yang anda perlu tahu dalam 
mencapai matlamat anda.

9: Perancangan


Kata pakar motivasi "Gagal untuk merancang adalah merancang untuk gagal"

Jangan biarkan nasib menentukan arah tuju anda. Buat perancangan yang rapi- seperti 
kontraktor memerlukan plan untuk membina bangunan yang gagah berdiri. Anda juga
 perlu plan untuk mencapai menara gading.

Rancang langkah-langkah anda dengan terperinci- dalam masa 1 bulan, apa yang anda perlu
 buat? Sekiranya ia tidak menjadi, apakah alternatif yang lain?

Hukum alam mengatakan, apa yang anda beri dan taburkan, ianya akan menjadi hasil. 
Sekiranya anda merancang untuk taburkan sedikit usaha, maka, sedikitlah pulangan anda. 
Sekiranya anda merancang untuk menaburkan bergunung-gunung usaha, maka, hebatlah 
pulangan yang anda akan terima.

Anda tidak boleh melanggar hukum ini. Mereka yang melanggar hukum ini adalah mereka
 yang sering ditpu dengan skim-skim piramid, skim cepat kaya, SCAM dan pelaburan 
yang hanya akan meleburkan wang sendiri.

10: Bina gambaran


"A picture paints a thousand words". Beri gambaran yang jelas di fikiran anda 
bahawa matlamat anda telah tercapai. Gambarkan diri anda 1 tahun dari sekarang. Atau, 
10 tahun dari sekarang.

Dengan berimiginasi gambaran anda berjaya di masa hadapan, ia juga akan membakar 
semangat anda untuk mencapai gambaran tersebut. Fikiran manusia dipenuhi dengan 
gambaran-gambaran dan bukannya perkataan. Penuhi fikiran anda dengan gambaran 
kejayaan anda di masa hadapan.

Berhati-hati, terlalu banyak mimpi di siang hari tanpa usaha dan perancangan, anda tidak
 jauh berbeza dengan angan-angan Mat Jenin!

11: Janji pada diri sendiri...


Janji pada diri anda sendiri, tidak kira apa rintangan yang akan datang. Tidak kira 
apa jua kegagalan yang anda hadapi, jangan- JANGAN- JANGAN sekali-kali putus asa! 
Sekrianya anda terjumpa dengan sahabat karib kejayaan, iaitu kegagalan- usah risau.
 Kejayaan adalah perintis untuk mencapai apa jua kejayaan- oleh sebab itulah saya 
gelarkannya sahabat karib.

Amat jarang sekali sesuatu kejayaan di capai tanpa kegagalan. Lagi banyak kegagalan 
anda temui, ianya bermaksud lagi hampir kejayaan kepada anda. Jangan putus asa oleh 
kerana kejayaan mungkin sedang menunggu disebalik kegagalan itu.

Berita baiknya adalah, menempuhi kegagalan adalah menambahkan pengalaman sendiri. 
Lebih banyak kegagalan yang anda jumpai, maka, lebih banyak anda dapat pelajari. Anda 
akan mempelajari lebih banyak dari sesuatu kegagalan. Sekiranya anda menjumpai 
kegagalan, ubah cara anda- jangan pula ikut cara yang sama oleh kerana cara yang 
sama akan membawa kegagalan seterusnya!

Kesimpulan


Kesemua formula kejayaan ini perlu di implementasikan setiap satu. Ini adalah "blue print" orang-orang yang berjaya di dunia. Ia menjadi formula kejayaan saya sendiri sehingga hari ini. Tiap-tiap kali saya mempunyai matlamat baru, saya akan rujuk kembali formula ini untuk memastikan matlamat saya tercapai.